PENGENALAN PENUBUHAN

MAKTAB RENDAH SAINS MARA TERENDAK

 

Ditubuhkan hasil daripada rundingan yang dilakukan di antara pihak MARA dengan Kementerian Pertahanan. Dengan keluasa 19 ekar MRSM ini terletak di dalam Kem Terendak, Melaka iaitu kem tentera yang terbesar di Malaysia. Maktab ini mula beroperasi pada Julai 1983 dengan jumlah 300 orang pelajar Tingkatan 1 termasuk pelajar MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang yang ditumpangkan sementara di sini. Pendaftaran pelajar-pelajar sulung MRSM Terendak berlangsung pada 21 Julai 1983. Pada tahun pertama penubuhannya, seramai 7 orang guru telah ditugaskan mengajar di sini. Pengetua pertama MRSM Terendak ialah En. Ashrokin bin Sanuji.

 

Antara kemudahan yang terdapat di MSRM Terendak pada awal penubuhannya ialah sebuah Balai Pelajar yang kini dikenali sebagai Bangunan Akademik oleh pelajar-pelajar pada hari ini yang terdiri daripada 18 buah bilik darjah. Guru-guru pada waktu itu ditempatkan di sebuah bilik guru yang mana bilik itu kini telah dijadikan Bilik Kerja Guru (BKG) dan Pusat Sumber Pembelajaran (PSP). MRSM Terendak juga turut dilengkapi dengan sebuah dewan besar yang diberi nama Dewan Budiman pada tahun 1985 yang mampu memuatkan 700 orang dalam satu-satu masa. Penubuhan blok asrama pelajar adalah secara berperingkat bermula dengan blok A hingga D. Pada waktu itu pelajar lelaki telah di tempatkan di blok A manakala pelajar perempuan ditempatkan di blok B. Dewan makan pelajar pula terletak bersebelahan tasik MRSM yang kini digunakan sebagai Bilik Seminar. Kedudukan asrama yang sentiasa berubah-ubah pada masa itu menyebabkan kedudukan dewan makan juga berubah-ubah. Kini dewan makan pelajar terletak berdekatan dengan blok E yang kini diberi nama Teres Teratai. Ketiadaan surau pada waktu itu menyebabkan PSP digunakan sebagai tempat solat berjemaah para pelajar.

 

MRSM Terendak telah dirasmikan pada tahun 1993 oleh Y.A.B. Tun Ghafar Baba yang pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kini setelah 28 tahun berlalu, segala infrastruktur MRSM Terendak telah dilengkapi dengan Surau, Makmal Komputer dan Bangunan Kemahiran Hidup. Bangunan kini yang diterima daripada pihak tentera ialah Makmal Komputer dan Gelanggang Futsal pada tahun 2007. Kini setelah 28 tahun, dengan segala kemudahan yang ada, MRSM Terendak mampu memuatkan 700 orang pelajar dalam setahun dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan jumlah guru seramai 70 orang. Sehingga kini MRSM Terendak telah diterajui oleh 10 orang pengetua yang mana pengetuanya pada hari ini ialah Tn. Hj. Roslam bin Yusoff.